Wang Wee Foong

WANG WEE FOONG ialah seorang penulis yang masih sedang mengenal huruf. Suka menulis dengan menggunakan pen dakwat biru kerana warna biru melambangkan perpaduan. Pada tahun 2013, WANG WEE FOONG berjaya menghasilkan buku rujukan karangan peribahasa Melayu bersama-sama dengan tiga orang penulis tempatan lain. Hampir 4 tahun berlalu, tiada karya dihasilkan sehingga kini kerana buku rujukan dahulu tidak laris dalam pasaran. WANG WEE FOONG mengikuti program pengajian Sastera Dengan Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM dan bermajorkan Pengajian Bahasa Melayu. Berkecimpung dalam bidang pengajian bahasa dan sastera.

Penulis amat berterima kasih atas Jemputan Agung dari pihak USMinfo sebagai salah seorang kolumnis dan mengambil bahagian dalam aktiviti penulisan “Dua Ringgit”. Aktiviti sebegini jelas sekali akan mendatangkan impak yang positif kepada golongan pembaca yang dilihat kebanyakannya akan terdiri daripada golongan MAHASISWA. Bagi penulis sendiri, melalui penulisan pada kolum “Dua Ringgit” juga akan mencemerlangkan dan meningkatkan lagi kualiti dan teknik penulisan penulis walaupun pada asalnya penulis tersalah anggap bahawa setiap artikel yang dinukil akan terima royalti sebanyak Dua Ringgit Malaysia (Hambar, tapi tidak mengapa…).  Kolum “Dua Ringgit” juga dilihat sebagai satu platform untuk menggalakkan pencetusan idea dan pandangan yang membina dalam kalangan MAHASISWA terhadap pelbagai isu.

Penulis tertarik dengan nama kolum “Dua Ringgit”, buat pertama kali mendengar nama tersebut, terlintas dalam fikiran penulis tentang soal nilai Wang Ringgit. Perihal tentang nilai Wang Ringgit, penulis merasakan perkara ini semamangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Sekali sebut tentang Wang Ringgit, kita akan terfikir tentang duit saku, baki simpanan dalam akaun CIMB, nilai wang ringgit dalam pasaran dunia, ekonomi Malaysia tercinta, ekonomi sedunia dan lain-lain lagi. Seolah-olah hidup kita akan sampai di penghujung jalan jika kehabisan Wang Ringgit; dari satu sudut pemikiran secara realisitk, ia adalah benar kerana “There are no free luncheon in this world.”.

Maka, penulis ingin mempersoalkan bagaimana orang ramai memberi tafsiran atau pandangan terhadap nilai dua ringgit itu? Adakah kebanyakan orang hanya melihat dari segi nilai ekonomi? Ataupun terdapatnya nilai lain yang sering kali disisihkan, diketepikan, diabaikan oleh orang ramai? Apa yang ingin diutarakan oleh penulis di sini ialah NILAI KEMANUSIAAN. Manusia pada abad ke-21 dikatakan selalu mengejar kebendaan dan inginkan kemewahan. Apabila timbulnya fenomena sebegini, kita cenderung menyalahkan ekonomi negara, desakan akibat daripada persaingan ekonomi global yang mengubah persepsi manusia ke arah materialistik. Namun begitu, bukankah yang mewujudkan sistem ekonomi itu ialah manusia sendiri? Manusia sebenarnya akar umbi yang menyebabkan lahirnya istilah-istiah, “MONOPOLI”, “MUFLIS”, “KEKAYAAN”, “MATERIALISTIK” dan “KEMISKINAN” dalam dunia ini. Apakah tindakan menuding jari yang mengatakan bahawa keadaan hidup masyarakat kelas pertengahan dan kelas bawahan semakin terbeban adalah disebabkan faktor A, B, C… diibaratkan sebagai meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri?

Masyarakat kini secara beransur sedang dibutakan dengan kebendaan sehingga lunturnya nilai kemanusiaan dalam diri sendiri. Biarpun sekadar dua ringgit Malaysia yang dipegang pada tangan, jika sekadar dihulurkan atau didermakan kepada mereka yang memerlukan, ia mampu membawa kesan yang sangat besar terhadap seseorang itu. Hakikatnya, orang ramai TAK SANGGUP untuk berpisah dengan Wang Ringgit. Sampai bila kau dan aku sanggup berkorban demi membantu orang lain yang ditimpa kesusahan? Sampai bila kau dan aku sanggup melepaskan ego dan nafsu yang mengejar kemewahan di dunia ini? Sampai bila kau dan aku sanggup menghulurkan sumbangan DUA RINGGIT kepada mereka yang kurang bernasib baik? Penulis boleh bayangkan betapa signifikannya nilai kemanusiaan itu berbanding dengan nilai ekonomi dan diterapkan dalam diri manusia. Persepsi yang cenderung ke arah materialistik wajar diperbetul, sifat kerakusan manusia wajar dihindarkan, maka itulah NILAI DUA RINGGIT sebenar.

 

*The views and opinions expressed in this article are those of the author’s and do not necessarily reflect the opinion of DuaRinggit.

Facebook Comments