Hafiz Hafifi Hassan

Hafiz Hafifi Hassan is a Taukey at The Coffee Siswa. He was elected and has served in Malaysia Youth Parliament 2014/2016. Founder of Tuisyen Rakyat, student activist @ Team Anak Muda Progresif and Serikat Mahasiswa. He also enjoys movies, gaming and reading.

Mahasiswa kini sering dikaitkan dengan pelbagai konotasi negatif dan sebahagian besarnya digambarkan sebagai golongan 3K; kuliah, kafe dan dan katil. Persespsi negatif ini wujud lantaran sikap mahasiswa itu sendiri terpenjara dek tembok dan pagar universiti. Masyarakat membayangkan bahawa mahasiswa telah mengasingkan diri dan berlepas tangan daripada terlibat memikirkan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membelengu  masyarakat. Sedangkan peranan mahasiswa itu besar merentasi pagar universiti, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga kepada rakyat terkebanyak yang menagih jasa-jasa intelektual muda.

Amatlah malang sekiranya mahasiswa hanya berlegar sekitar dewan kuliah, kafe kolej kediaman dan katil untuk beradu. Mahasiswa perlu turun ke kancah masyarakat membantu mengurangkan kesempitan yang dihadapi rakyat serta mencadangkan seberapa banyak alternatif untuk rakyat keluar daripada masalah berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Kemanakah lagi hendak diturunkan manfaat diri jika bukan kepada masyarakat?

Keadaan mahasiswa yang membutakan diri daripada melihat realiti masyarakat amat membimbangkan, walhal mahasiswa sepatutnya menjadi agen perubahan yang sentiasa cakna dengan kondisi negara. Seolah-olah prihatin terhadap isu-isu negara khususnya bab sosial, ekonomi, agama pendidikan bahkan perihal politik yang melibatkan kepentingan rakyat bukan sebahagian daripada tanggungjawab seorang mahasiswa.

Seorang penyair Jerman, Bertolt Brecht pernah mengungkapkan;

“The worst illiterate is the political illiterate, he doesn’t hear, doesn’t speak, nor participates in the political events. He doesn’t know the cost of life, the price of the bean, of the fish, of the flour, of the rent, of the shoes and of the medicine, all depends on political decisions. The political illiterate is so stupid that he is proud and swells his chest saying that he hates politics. The imbecile doesn’t know that, from his political ignorance is born the prostitute, the abandoned child, and the worst thieves of all, the bad politician, corrupted and flunky of the national and multinational companies.” 

Jika mahasiswa sendiri buta isu-isu masyarakat bagaimana rakyat akan terbela? Sikap tidak peduli mahasiswa itu sendiri akan membawa kepada kehancuran dan kerosakan masa depan negara. Itulah hakikat mahasiswa yang menghidap penyakit 3K, hanya berlegar dalam dunianya yang tersendiri. Tidak mahu ambil kisah tentang kesulitan masyarakat dan konflik yang berlaku dalam negara. Akhirnya mahasiswa hanya menjadi manusia-manusia yang mengejar sijil ijazah tanpa memaknakan diri kepada masyarakat.

Mahasiswa itu sendiri sebahagian daripada masyarakat, bukan satu entiti yang dipisahkan daripada masyarakat sivil walaupun terkurung di dalam tembok universiti. Kerana itulah mahasiswa kena pulang berbakti kepada masyarakat. Namun, mahasiswa sendiri kebanyakannya lupa akan hakikat itu. Masing-masing merasakan diri diasingkan dan tak boleh diganggu semata ingin fokus kuliah, kafe dan katil. Lalu masyarakat hilang kepercayaan kepada barisan intelek muda dan mahasiswa terus mengasingkan diri daripada kancah masyarakat. Hanya sesekali keluar menjenguk masyarakat diatas nama program-program universiti yang diberikan merit.

Barisan intelektual muda ini perlu mula membuka minda, mengenal pasti peranan dan tanggungjawab sebenar mahasiswa serta mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Mengembalikan zaman masyarakat menagih peranan mahasiswa dan mahasiswa sendiri sedia turun bila-bila masa demi kemaslahatan masyarakat. Suasana dimana masyarakat dan mahasiswa mampu bersinergi bersama untuk masa depan negara.

Di dalam konteks kenegaraan berbentuk demokrasi yang mempunyai 3 partisan asas; kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil. Sudah tentunya mahasiswa sebahagian daripada masyarakat sivil. Jika dilihat dalam 3 partisan ini masyarakat sivil adalah partisan terbesar dan golongan yang perlu dibela. Partisan kerajaan merupakan kelompok yang mengurus negara dan mengembalikan hasil negara dalam bentuk manfaat kepada rakyat. Pembangkang  pula kumpulan yang mengimbangi parti yang memerintah agar segala tindak tanduk mengurus kerajaan mampu diperhalusi, dikritik dan ditambah baik, agar berlakunya good governance practices(amalan tadbir urus baik) dalam sistem check and balance(periksa dan imbang).

Berdasarkan struktur ini mahasiswa perlu bertindak mewakili masyarakat sivil, bukannya condong kepada partisan kerajaan atau pembangkang. Melaksanakan tugas sebegini rupa memerlukan mahasiswa berjiwa negarawan. Mahasiswa yang gagal berjuang merentasi semangat parti politik kebiasaanya cenderung untuk berjuang demi survival parti politik pilihanraya demi pilihanraya. Manakala mereka yang berjiwa negarawan memikirkan survival rakyat terkebanyak demi kemaslahatan negara dan bertindak apa yang betul dan menguntungkan masyarakat sekalipun tindakan tersebut tidak populis.

Meminjam kata-kata James Free Clarke yang sentiasa diingati sehingga kini;

“A politician thinks of the next election. A statesman, of the next generation.”

Maka itulah juga yang kita harapkan daripada mahasiswa, mampu berfikir besar untuk generasi yang mendatang. Tidak dinafikan menjadi negarawan sentiasa dikaitkan dengan pemimpin negara dan juga tokoh-tokoh politik. Hakikatnya, untuk menjadi negarawan tidak semestinya perlu menjadi tokoh politik atau pemimpin negara sedangkan ada beribu cara untuk menjadi seorang negarawan. Kadangkala negarawan hanyalah label yang diberikan oleh manusia kepada manusia yang lain, sekadar label ia tidak membawa apa-apa makna. Namun yang paling penting adalah tindakan berjiwa negarawan yang perlu dikejar, bukan label yang ditagih.

Misalnya, menjadi sukarelawan banjir yang sudi berkorban masa dan tenaga serta membantu segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan parti politik juga salah satu bentuk tindakan berjiwa negarawan. Tidak kiralah tindakan mahasiswa itu dalam kerangka politik, sosial, pendidikan, ekonomi dan apa jua juzuk yang wujud, asalkan dilakukan demi kepentingan rakyat terkebanyak dan generasi akan datang tanpa condong kepada mana-mana partisan serta tanpa mengira kepentingan mana-mana pihak maka itulah negarawan.

Oleh itu, mahasiswa perlu mula merasakan dirinya sebahagian daripada masyarakat sivil, turun ke lapangan seterusnya bergerak dalam kancah masyarakat sebagai negarawan muda. Langkah paling awal adalah keluar daripada kepompong 3K dan membuang skpetisma masyarakat terhadap mahasiswa. Kembalikan nilai-nilai positif dan keboleh-percayaan masyarakat ke dalam diri mahasiswa sebagai agen perubahan dan negarawan muda. Justeru itu, struktur masyarakat dapat diperkukuhkan lagi apabila mahasiswa mampu menguatkan suara masyarakat sivil, tidak lagi hanya menjadi partisan tersepit antara parti-parti politik yang kadangkala bertelagah. Sebaliknya masyarakat sivil mampu menjadi kuasa ketiga yang tidak sepenuhnya bergantung harap kepada kerajaan dan pembangkang dalam konteks kenegaraan malah menjadi salah satu pengimbang yang kuat dalam struktur negara demokrasi.

Masyarakat sivil tidak semata membutuhkan modal insan yang punyai intelek tetapi mereka memerlukan negarawan muda yang mampu memperjuangkan masa depan negara. Pilihan berada di tangan mahasiswa, pilihlah samada untuk kekal menjadi mahasiswa 3K atau menjadi mahasiswa negarawan muda yang ditagih negara. Moga legasi mahasiswa sabagai negarawan muda dapat diperkembang dan dijiwai oleh mahasiswa di seluruh pelusuk negara.

Wallahu’alam.

*The views and opinions expressed in this article are those of the author’s and do not necessarily reflect the opinion of DuaRinggit.

Facebook Comments