Anonymous Anon

Received his education in USM, he was trained as a political Scientist in his degree and Master study. His interests are in politics, economics, and public administration. An avid reader, he actively involved in discussions and also given the chances to hold several positions in student association.

Semasa zaman Khulafa Ar-Rasyidin, Islam telah berkembang ke seantero tanah Arab dan menumbangkan kerajaan Rom dan Parsi. Dalam proses tersebut, tentera Islam berjaya menawan kota Iliya’ (Jerusalem). Pada waktu itu, Patriarch Sophronius, seorang Bishop memberikan syarat supaya Khalifah Islam ketika itu, Umar ibn Al-Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Jerusalem. Pada sangkaannya, Umar adalah seperti raja lain yang gemar kepada perhiasan dan wanita, namun tanggapan tersebut salah kerana Umar hanyalah berpakaian biasa dan hanya ditemani pembantu beliau. Melihat kepada sifat sederhana (moderate) yang ada pada beliau, maka Sophronius berkata “Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.Dalam kisah yang sama, setelah selesai pembukaan kota Jerusalem tersebut, perjanjian yang dikenali sebagai The Umariyyah Covenant jelas menyebut bahawa: “mereka tidak akan dimusuhi kerana keyakinan agama, mereka tidak akan diganggu atau diancam walau seorangpun dari mereka.”

Kisah Islam yang moderate juga pernah dibahaskan oleh T.W Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam yang berhujah bahawa sejak 600 tahun yang silam, terdapat bukti kukuh yang dakwah islam dijalankan secara aman. Hasilnya dapat dilihat melalui kisah-kisah yang diungkapkan dalam Sejarah Melayu dan Babad Tanah Jawi  yang menghurai dengan lanjut perkembangan islam di bumi Melayu.

Kisah-kisah ini menjadi manifestasi jelas bahawa apa yang diperlukan oleh umat Islam adalah kesederhanaan, bukannya ekstremisme yang menunggang agama, juga bukan sikap merendahkan agama lain. Jika kita belajar dari sejarah, Islam dimuliakan dan dihormati kerana prinsip yang bertunjangkan kepada nilai saling menghormati antara agama, bukannya dengan mengamalkan Islam yang melampau dan tidak memikirkan kaum yang lain.

Dalam konteks Malaysia, isu berkaitan dengan agama merupakan isu yang cukup sensitif. Hal ini kerana Malaysia yang dibina sejak 1957 bersandarkan kepada kesatuan pelbagai bangsa dan hak-hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Jamak budaya yang wujud ini berkat sifat sederhana, pragmatik dan dinamik yang ada pada setiap bangsa sekaligus membolehkan kita menjadi Negara Islam contoh kepada Negara-negara Islam yang lain. Sungguhpun begitu, masih wujud segelintir umat Islam yang jumud dan rigid, yang hanya memandang status Negara Islam berdasarkan kepada perlaksanaan Undang-undang Islam semata-mata. Pada mereka, selagi kita belum melaksanakan hukum berlandaskan kepada agama Islam, maka kita tidak wajar diiktiraf sebagai Negara Islam. Sayangnya pemikiran sempit ini masih wujud dalam benak pemikiran masyarakat yang mengaku mereka bersifat intelek. Satu perkara yang perlu dijelaskan, saya bukanlah orang yang pakar dalam hukum dan perundangan Islam. Wacana ini sekadar ditulis untuk membincangkan beberapa isu yang pada pandangan saya wujud disebabkan oleh stereotype masyarakat berlandaskan persepsi dan bukannya fakta.

HUDUD DI MALAYSIA

Pertama sekali, isu berkenaan dengan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia. Pada pandangan saya, perkara ini tidak lebih dari sekadar publisiti politik untuk menarik undi Melayu yang membentuk majoriti pengundi di Malaysia. Golongan yang memperjuangkan hudud ini berpendapat bahawa sesuai dengan perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, maka wajarlah kita melaksanakan hukum yang dituntut oleh Islam. Dalam situasi ini, persoalan yang melatari polemik ini, adakah golongan ini berpolitik untuk agama, atau menggunakan agama untuk berpolitik? I would say the latter. Golongan inilah yang membuatkan rasa tidak tenang (insecure) bangsa lain terhadap agama kita, sekaligus menenggelamkan semangat bersatu berlandaskan prinsip kesederhanaan setiap kaum yang dibina oleh moyang kita. Saya juga bukanlah tergolong dalam golongan yang menolak perlaksanaan hukum ini, namun masanya masih belum sesuai. Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan (Fiqh Al-Awlawiyyat) menjelaskan bahawa umat islam perlu membasmi isu sosial dan ekonomi seperti kemiskinan, buta huruf, infrastruktur dan menyelesai isu pengangguran terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum syariah. Jika tidak, ia seumpama membangunkan jasad tanpa roh. Maka, bersandarkan kepada huraian dalam makalah beliau, jelaslah bahawa Malaysia masih lagi jauh dari mencapai tahap tersebut dan belum bersedia melaksanakan hukum syariah yang dilaungkan golongan tersebut.

RUU355 BUKAN HUDUD

            Adalah satu perkara yang dikesalkan sekiranya kita melihat sesuatu itu tanpa menilai seluruh isinya. Hal ini dapat dilihat tatkala polemik RUU355 yang menjadi bualan hangat dari meja kopi sehingga ke PWTC. RUU355 sebenarnya adalah Rang Undang-Undang untuk menaikkan kuasa mahkamah syariah kerana hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah yang paling tinggi kedudukannya lebih rendah daripada Mahkamah Majistret di peringkat daerah. Memetik kenyataan Dato Seri Hadi Awang bertarikh 11 November 2016, beliau menjelaskan bahawa hudud adalah diluar RUU355. Dalam kata lain, perkara ini (RUU355) bukanlah sebahagian daripada hukum hudud. Pada pendapat saya, saya menyokong perkara ini kerana ia tidaklah bercanggah dengan perlembagaan dan dalam masa yang sama masih mengekalkan prinsip menghormati agama dan budaya yang lain.

Kita memahami kenapa bangsa lain menolak dan resah dengan RUU355 ini. Hal ini kerana mereka risau bahawa ia akan menyebabkan Malaysia terjebak dengan islamisasi melampau yang akhirnya akan menghakis dan menggugat agama mereka. Namun begitu, mereka juga tidak seharusnya terus hanyut dengan persepsi bahawa ia akan mengganggu amalan agama mereka. Hal ini kerana jelas dinyatakan bahawa hal ini hanya melibatkan mahkamah syariah dan orang islam sahaja.

Sekiranya ada yang perlu takut dengan perlaksanaan RUU355 ini, sebenarnya ia adalah golongan Islam itu sendiri. Apabila pindaan ini diluluskan dalam keadaan persediaan yang tidak rapi dan sempurna, ia akan membuka jalan kepada keburukan yang lebih besar.Nama baik Islam akan tercalar dek kerana sistem keadilan syariah yang tidak teratur dan tidak adil. Maka, semua pihak perlulah menilai semua perkara berlandaskan fakta dan bukannya persepsi serta paradigma politik. Prinsip menghormati tidak terbina dengan sebelah pihak. Tidak adil untuk kita menuntut daripada satu pihak tanpa dibalas oleh pihak yang lain. Bibit kecenderungan dan sifat melampau perlu ditolak dan tidak dibiarkan tumbuh dan semaikanlah budaya toleransi dengan penuh kelembutan. Hal ini kerana hukum alam mengajar kita bahawa air yang penuh kelembutan boleh memadamkan api yang penuh dengan kebencian.

 

*The views and opinions expressed in this article are those of the author’s and do not necessarily reflect the opinion of DuaRinggit.

Facebook Comments